Suami dakwa dipukul isteri turut 'diajar' anak hingga lebam, luka
Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my
MELAKA 2 Feb. - Jika sebelum ini, kita sering mendengar kisah isteri didera suami tetapi keadaan sebaliknya berlaku terhadap seorang lelaki yang dipukul isteri sehingga lebam dan luka di belakang badan.
Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my
MELAKA 2 Feb. - Jika sebelum ini, kita sering mendengar kisah isteri didera suami tetapi keadaan sebaliknya berlaku terhadap seorang lelaki yang dipukul isteri sehingga lebam dan luka di belakang badan.
Lebih menyedihkan, dua anaknya berusia 10 dan 16 tahun turut melakukan perkara itu apabila sanggup memukul ayah mereka dengan menggunakan penyangkut baju.
Itulah nasib malang seorang pekerja syarikat insurans di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 47, apabila dia dipukul isterinya sejak tujuh tahun yang lalu.
Sudahlah dipukul, Sham mendakwa isterinya yang berusia 43 tahun berjawatan eksekutif di sebuah syarikat terkemuka di Kuala Lumpur sanggup bermain kayu tiga di belakangnya sejak tahun 1998 dan sering pulang lewat ke rumah.
Perbuatan isterinya semakin menjadi-jadi apabila Sham berpindah bekerja di negeri ini sejak 2005 dan hanya pulang ke rumahnya di Selayang pada cuti hujung minggu.
Sham mendedahkan perkara tersebut ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) bagi meminta bantuan Ketua Penyelia Pembela, Amir Hamzah menyelesaikan masalah dihadapinya itu di sini hari ini.
"Saya sering dipukul jika enggan menuruti apa yang dikehendaki oleh isteri saya. Dalam kejadian Rabu lalu, alat sulit saya telah ditendang oleh isteri setelah saya mempertikaikan dia mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerjanya.
"Dua anak saya juga turut memukul saya dengan penyangkut baju," ujarnya.
Akibat tidak tahan dengan apa yang terjadi, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada malam selepas kejadian tersebut.
Kata Sham, sepanjang perkahwinan dia telah menunaikan segala tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah kepada tiga anak dengan memberi nafkah yang cukup.
"Saya mungkin membuat kesilapan kerana sering mengalah dan tidak bertegas dengan isteri sehingga dia tidak berasa malu memukul saya.
"Lebih teruk saya cukup terkilan dengan tindakan dua anak yang sanggup memukul saya selepas 'diajar' oleh ibu mereka,'' katanya yang mengalami luka di bahagian belakang badan.
Dakwanya lagi, isterinya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sejak empat tahun lalu apabila dia berpindah bekerja di Melaka.
"Kami sudah tidak hidup bersama sebagai suami isteri selama empat tahun tetapi saya seringkali menjadi mangsa pukulnya jika enggan menuruti apa kehendaknya.
"Saya masih mampu bersabar dengan sikapnya itu kerana ingin menjaga nama keluarga," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 3/2/2010
**********************************************************************************************
Jangan salah faham, bukan insan itu yang ummi hormati !!!
Bila ummi baca artikel ni tengahari ni, ummi rasa bersyukur sangat kepada Allah SWT kerana diberi suami yang begitu penyayang, prihatin dan sangat mengambil berat tentang kami anak beranak. Dan dia juga harus diberi pujian kerana begitu sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan demi dugaan yang mendatang. Cabaran tetap ada tak kira dari kawan-kawan atau apa sekalipun, namun ummi yakin ayah boleh menentukan pendiriannya sendiri.
SUAMI, itu adalah status seorang lelaki yang sudah mengikat tali perkahwinan dengan seorang wanita yang dikasihinya. Suami wajib dihormati, dipatuhi segala jua arahan dan perintahnya tetapi bukan untuk ke arah negatif dan tidak baik. Pada ummi perbuatan dalam artikel tersebut tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa, baik kepada si suami ataupun si isteri sekalipun ada masalah dalam perkahwinan.
Bagi ummi, perkahwinan memerlukan pengorbanan, persefahaman dan tolak ansur dari kedua-dua belah pihak. Ummi bertuah kerana ayah seorang yang sangat mengambil berat tentang ummi dan anak-anak. Kami sering berbincang untuk mendapatkan kata sepakat dalam sesuatu perkara. Dalam perihal kesihatan ummi pun, kadangkala pendapat ayah lebih positif dari ummi. Yelah, mungkin ummi sebagai seorang pesakit selalu berfikiran tak tentu arah, sering tak dapat nak bagi tumpuan atau nak buat sesuatu keputusan. Tapi itulah SUAMI, rakan karib ummi yang senantiasa memberikan pendapat, semangat dan kasih sayang yang tak berbelah bagi dan dialah insan yang paling ummi hormati. Yang sanggup bersengkang mata siang, malam, subuh semata-mata kerana kasihnya kepada kami.
Ummi berdoa semoga kasih sayang kami akan sentiasa subur dari masa ke semasa dan dipelihara dari segala perbuatan mungkar. Moga perkahwinan kami juga sentiasa dibajai dengan kasih sayang, rasa cinta dan hormat antara satu sama lain. Dalam keadaan sekarang pun, bila berkesempatan, kami akan keluar menonton wayang bersama berdua, dan kadang-kadang kami akan keluar lewat tengahmalam (tatkala semua orang sedang beradu) untuk makan malam yang ringan, selalunya makan bubur laa ..., ataupun menonton tv lewat malam bersama .. tak pun sarapan pagi di kedai bersama lepas hantar anak-anak semua ke sekolah ... hmmmm .... biarlah selalu begini kerana terasa kembali seperti baru berkahwin !! hehehe ....
Apapun, ummi harap semoga wanita kini jangan mudah alpa dengan kejayaan yang mereka kecapi walaupun tak setanding dengan jawatan yang disandang suami. Tak kira apapun jawatan mereka, berapa kecil pun jawatan mereka atau serendah mana pendidikan yang diterima mereka, selepas diijabkabul, mereka TETAP suami yang perlu dihormati. Semoga kita sama-sama dirahmati Allah SWT dalam kehidupan berumahtangga. Amin.
No comments:
Post a Comment